Kolej Empat Belas mula beroperasi pada semester sesi 2000-2001. Pengurusan bangunan dan persekitaran kolej ini ditadbir oleh sebuah syarikat swasta, PJS Development Sdn. Bhd.. Keseluruhan infrastruktur kolej yang beroperasi secara ‘Built Operate Transfer’(B.O.T) ini siap dibina pada bulan April 2000.
Kolej Empat Belas (Kolej 14) mempunyai lima buah blok yang terdiri daripada tiga blok untuk pelajar siswi iaitu blok P4, P7 dan L5, manakala dua blok untuk pelajar siswa iaitu blok L2 dan L6. Jumlah pelajar baru yang berdaftar di Kolej 14 semester 2010-2011 adalah seramai 314 orang pelajar yang terbahagi kepada 101 orang pelajar siswa dan 213 orang pelajar siswi.
Kolej Dua Belas, Kolej Empat Belas, Kolej Lima Belas dan Kolej Enam Belas mula dikenali sebagai Kolej Serumpun mulai Julai 2007. Beberapa kemudahan asas telah disediakan oleh pihak pengurusan Kolej Serumpun dengan kerjasama pihak pengurusan PJS Development untuk manfaat bersama. Di antaranya surau yang boleh memuatkan seramai lebih kurang 200 orang dalam satu masa dan juga sebuah dewan serbaguna yang berhawa dingin. Sebuah dewan kolegiat telah siap dibina dan terletak bersebelahan dengan surau Kolej Serumpun. Kemudahan padang permainan dan gelanggang serbaguna yang baik dapat memberikan kelebihan kepada warga Kolej Serumpun untuk menjalankan aktiviti. Bagi melancarkan perjalanan pengurusan kolej, beberapa bilik yang asalnya bilik penginapan telah diubahsuai untuk dijadikan bilik tutorial (4 buah), bilik Makmal Teknologi Maklumat (ICT) atau bilik komputer (2 buah), bilik kaunseling (1 buah) dan beberapa bilik penginapan Felo-Felo.
Kolej 14 juga mempunyai sebuah kolam di sekitarnya. Tasik semula jadi yang berhampiran dengan surau dihiasi dengan pokok-pokok dan bangku-bangku agar warga kolej dapat bersantai dan bersiar-siar sambil menenangkan fikiran mereka. Bilik mesyuarat yang berkapasiti 25 orang ini digunakan oleh pelajar ataupun staf-staf kolej untuk mengadakan perjumpaan, sesi perbincangan dan mesyuarat. Syarikat Guard Incorporated pula telah ditugaskan untuk memastikan pelajar berasa yakin dan selamat semasa di kolej kerana kawalan diadakan 24 jam.
PENGENALAN LOGO
Poligon-poligon yang pelbagai bentuk bertindih antara satu sama lain menunjukkan Kolej 14 yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama duduk di bawah satu bumbung dengan aman, harmoni dan tenang. Gabungan poligon ini membentuk dua perkataan iaitu K dan 14, menghasilkan perkataan Kolej 14. Bentuk parabola pada logo ini menggambarkan penghuni kolej ini menuju ke arah zaman yang berteraskan teknologi selaras dengan Wawasan 2020. Bentuk gading pada logo ini pula, adalah satu simbolik pada menara gading, di mana penghuni Kolej 14 memang sentiasa ingin memajukan diri dalam pelajaran. Jika diamati setiap hujung poligon ini mempunyai hujung yang tajam, menunujukkan semua penghuni Kolej 14 mempunyai matlamat yang jelas dan berani dalam mengejar cita-cita sebagai mahasiswa berketrampilan bagi menghadapi kehidupan yang semakin hari semakin mencabar.
Merah
· Menunjukkan semangat penghuni Kolej 14 yang tegas dan berani menghadapi apa jua cabaran di UPM mahupun di luar.
· Dedikasi dalam menjayakan apa jua cabaran serta tangkas menyelesaikan setiap permasalahan.
Biru
· Warga Kolej 14 sentiasa hidup aman harmoni tanpa mengira warna kulit, agama dan ideologi pemikiran.
· Lambang permuafakatan warga kolej yang harmoni serta perpaduan sesama insan bagi meningkatkan ukhwah.
Perak
· Warga Kolej 14 sentiasa mahu memajukan kolej dalam bidang teknologi baru selaras dengan matlamat kolej yang berteraskan ICT.
· Lambang mahasiswa dan mahasiswi globalisasi dan berinfomasi.
Putih
· Logo ini berlatarbelakangkan warna putih menunjukkan warga Kolej 14 sentiasa mahu maju dalam apa jua bidang baik dalam pelajaran mahupun kegiatan luar.
· Konsep putih yang bersih dan suci melambangkan ketulusan dan keikhlasan warga Kolej 14 dalam memajukan matlamat diri, kolej dan universiti.